Minat memelihara lembu sejak kecil menjadi pendorong buat Encik Abdullah Bin Ismail untuk menjadikan kerjaya sebagai penternak lembu sebagai punca rezekinya. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Ustaz Lah’ dalam kalangan penduduk Kampung Teluk Menara, Manir, Terengganu bermula secara kecil-kecilan. Wang yang diperolehi daripada penjualan ikan yang ditangkap menggunakan bubu dan pukat digunakan untuk menambah jumlah lembu yang dimilikinya. Daripada hanya seekor lembu kemudian ditambah seekor setiap bulan, selepas 10 tahun beliau kini mempunyai lebih daripada 100 ekor lembu di kandangnya pada satu-satu masa.
Ketika pandemik mula melanda tahun lepas, perniagaan jual beli lembu beliau turut terkesan. Jika sebelum ini, beliau banyak membekal daging untuk majlis keraian dan kenduri kahwin, permintaan lembu beliau ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu turut terjejas. Enggan menyerah kalah, beliau mengatur strategi, menyembelih lembu miliknya dan menjual daging lembu segar melalui kaedah ‘COD’ (cash on delivery) kepada penduduk setempat dan di sekitar Kuala Terengganu.
Sebagai salah satu strategi penjimatan kos, beliau turut menanam sendiri rumput napier yang diproses segar bagi memastikan lembu-lembunya mendapat sumber makanan berkualiti dan bermutu tinggi. Sentiasa percaya pada rezeki, beliau berusaha memastikan perniagaannya dapat terus berjalan biarpun dibadai cabaran.
Saksikan kisah penuh inspirasi Ustaz Lah, pemilik BJT Teguh Enterprise dalam Cerita Agropreneur Kita.
Ещё видео!