20/09/2013 -- Graduan Pendidikan Perlu Tahu Dan Faham Prosuder Penempatan Guru:- TS Muhyiddin Yassin
Hanya graduan pendidikan yang benar-benar layak sahaja akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjawab soalan yang menyentuh penempatan guru berkata, graduan yang telah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan IPGM perlu memohon jawatan Gred DG41 kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, graduan pendidikan perlu memahami proses serta prosuder penempatan selepas mereka tamat pengajian.
"Prosedur penempatan automatik selepas tamat pengajian tidak dilaksanakan lagi.
"Mulai 2012, semua graduan pendidikan perlu mengemukakan permohonan kepada SPP.Mereka (graduan) perlu melalui proses tapisan SPP dan temuduga. Ini penting untuk difahami," katanya pada sesi dialog perjumpaan khas warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dengan Timbalan Perdana Menteri di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, hari ini.
Jelas Muhyiddin, sebanyak 7,607 graduan keluaran 2012 telah lulus temu duga SPP dan dilantik sebagai guru DG41 pada 1 Julai lepas.
Ia meliputi 3,921 calon lepasan IPGM dan 3,686 calon lepasan IPTA, termasuk 1,815 graduan UPSI, katanya.
Beliau berkata bagi graduan tahun ini, SPP masih dalam proses menguruskan penjadualan temu duga.
Selepas acara itu, Muhyiddin bersama warga universiti berkenaan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampus Sultan Azlan Shah, universiti itu.
Ещё видео!