Tidak Boleh Makan Ikan Tapah Bukan Sekadar Mitos
“MULAI hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu cicit aku, piyat-piyut, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh makan, menganiaya atau mengkhianati akan ikan Tapah.
“Barangsiapa melanggar sumpah aku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya,” begitulah kisah sumpah Pak Kaduk yang diketahui ada kaitan dengan lagenda ikan Tapah sehingga kini.
Menurut Asiah Pandak Sood, 71, yang ditemui di Kampung Tua, Batu 16 berdekatan Lambor Kanan, Bota, kisah sumpahan ikan Tapah dan Pak Kaduk masih berterusan walaupun ramai menganggapnya sebagai mitos semata-mata.
Kaitan Pak Kaduk Dan Ikan Tapah
Menurut Asiah, pantang larang mengenai ikan Tapah memang ada kaitan dengan kisah Pak Kaduk yang membuat sumpahan setelah mendapat ‘pertolongan’ melalui emas yang keluar dari perut ikan itu.
“Kita selalu dengar pepatah ‘ayam menang sabung, kampung tergadai’ dan itu ada kaitan dengan Pak Kaduk oleh kerana dia gemar berjudi dan menyabung ayam. Hendak dipendekkan cerita kononnya Pak Kaduk terlihat seekor ikan Tapah di tebing sungai.
“Pak Kaduk pun mengambil mata tuai dan dibelahnya perut ikan itu, lalu keluar emas yang banyak. Setelah itu dia pun jahit perut ikan Tapah dengan menggunakan benang batang pisang dan dilepaskan semula ikan ke dalam sungai sambil melafazkan sumpah yang kekal hingga sekarang,” ceritanya.
Air Rendaman Emas Sebagai Penawar
Khazanah Pak Kaduk berupa tiga butir kerongsang emas yang dipercayai dari perut ikan Tapah itu masih disimpan rapi untuk dijadikan penawar penyakit akibat memakan ikan tersebut.
Perkara itu diakui sendiri oleh Asiah memandangkan terdapat ramai individu yang berkunjung ke rumahnya saban hari bagi merawat penyakit gatal-gatal dan alahan setelah makan ikan Tapah.
“Makcik ada juga kaitan dengan keturunan Pak Kaduk, kiranya ada kaitan persaudaraan, jadi makcik bantu dari segi pemberian air yang sudah dibotolkan kepada mereka yang terkena ‘sumpahan’ ini.
“Waris cucu cicit keturunan Pak Kaduk yang sediakan air ini dengan merendam emas itu ke dalam air, ia boleh juga dibuat minum, sapu di tempat yang gatal atau dijadikan air mandian.
Alhamdulillah dengan izin Allah rata-rata pesakit yang datang ambi air di sini semuanya pulih sedia kala dan tiada lagi kesan alahan atau gatal pada badan,” dakwa Asiah.
Datang Dari Serata Negeri
Menurutnya, waris cucu cicit Pak Kaduk yang tinggal berdekatan rumahnya, sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur dan hanya akan pulang ke kampung sesekali untuk memberikan stok air itu kepadanya.
Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran untuk pesakit yang datang memandangkan niatnya hanya untuk membantu menyembuhkan penyakit itu dengan izin Allah SWT.
“Tiap- tiap hari mesti ada yang datang disebabkan doktor pun tidak tahu apa punca sakitnya dan minta mereka dapatkan rawatan kampung.
“Pernah juga yang datang dari Pulau Pinang dan tidur di homestay berdekatan, makcik cuma ikhtiar saja dengan baca selawat Nabi dan tawakal kepada Allah kerana Dia yang menyembuhkan segala penyakit.
“Kalau yang tinggal jauh macam di Sabah pula mereka akan kirim melalui saudara atau kawan-kawan disebabkan yang terkena gatal-gatal itu merupakan orang Perak tetapi bekerja di sana,” jelasnya.
Meskipun sumpahan ini dikatakan hanya berlaku kepada keturunan Pak Kaduk yang berasal dari Perak, namun ia juga dipercayai boleh terkena kepada anak-anak menerusi perkahwinan melibatkan keturunan ini.
Beza Sumpahan Pak Kaduk dan Mahsuri
Menurut Asiah, jika sumpahan Mahsuri berlanjutan sehingga tujuh keturunan, berlainan pula kisah Pak Kaduk kerana sumpahannya tiada had tempoh dan tidak akan berakhir sampai bila-bila.
“Makcik sendiri pun memang tak boleh makan ikan Tapah sama juga dengan orang-orang kampung yang berdekatan sini, kalau makan habis satu badan gatal,” dakwanya.
Kebanyakan keturunan Pak Kaduk dikatakan berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota di daerah Perak Tengah. #shorts
Kredit : suaraperak.com #like #share #subscribe
Ещё видео!