AS-SAYYID SYEIKH RAJA ASHMAN AZLAN SHAH [PEMIMPIN HATI BAGI PENCARI KETENANGAN]
LATAR BELAKANG DAN NASAB KETURUNAN:
Al-Marhum Sayyidi Syeikh Raja Ashman Azlan Shah as-Sultanul Qulub ibn Al-Marhum Sultan Azlan ibn Sultan Yusuff ibn Sultan Abdul Jalil ibn Raja Nuteh binti Sultan Yusuff ibn Ngah Aminah binti Raja Alang Radin ibn Sultan Muda Alauddin ibn Sayyid Hassan ibn Sayyid Jamaluddin ibn Sayyid Abdul Majid ibn Sayyid Abu Bakar ibn Sayyid Hussan ibn Sayyid Hussien al-Faradz al-Jamalullail ibn Saidina Maulana as-Syarif Jamalullail al-Jufri ibn Saidina Abdullah ibn Sayyid Alwi ibn Sayyid Abdullah Jamalullail ibn Sayyid Abdul Rahman as-Saggaf ibn Saidina Maulad Dawilah Muhammad ibn Ali ibn Alawi ibn Muhammad Fakeh al-Muqaddam ibn Ali ibn Muhammad Sahib Mirbath ibn Ali Khali' Qasam ibn Alawi ibn Muhammad ibn Alawi ibn Ubaidillah ibn Alawi Muhajirullah ibn Isa al-Rumi ibn Muhammad al-Naqib ibn Ali al-Uraidhi ibn Jaafar as-Sadiq ibn Muhammad al-Baqir ibn Ali Zainal Abidin ibn al-Hussien ibn Saiyidatina Fatimah al-Zahra binti Muhammad Rasulullah SAW.
Syeikh Raja Ashman telah dilahirkan pada 28 Disember 1958M di Pulau Pinang dan dilantik menjadi Raja Kecil Sulung Perak pada 16 Mac 2010. Beliau merupakan anak ketiga dan putera kedua Sultan Perak daripada lima adik-beradik yang terdiri daripada Raja Muda Perak iaitu Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Eleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia, sekaligus merupakan keturunan yang mulia daripada jalur nasab Saidina Hussien r.hu. dan tergolong dalam kalangan ahlul bait Nabi Muhammad SAW.
Syeikh Raja Ashman telah berkahwin dengan seorang pelakon filem, Yang Amat Mulia Datin Seri Noraini Jane. Hasil perkahwinannya, mereka dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri iaitu YAM Raja Kechil Tengah, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia.
Syeikh Raja Ashman Azlan Shah telah melanjutkan pendidikannya sehingga memperolehi Diploma dalam bidang Undang-undang Perniagaan daripada Universiti London di England dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Nottingham juga di England.
Langkah beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan beliau terus gigih menimba ilmu sehingga memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Undang-undang daripada Universiti Cambridge dan Barrister-at-Law daripada Lincoln's.
AHLI KELUARGANYA:
Seterusnya, beliau telah menempuh jalan kesufian secara langsung dengan Maulana Syeikh Nazim al-Haqqani iaitu mursyid Tarekat Naqshabandi al-Aliyah.Beliau diberi julukan sebagai Sultanul Qulub sehingga dilantik sebagai khalifah Maulana Syeikh Nazim di Benua Timur untuk memimpin Tarekat Naqshabandi. Ramai para ulama telah berkunjung menziarahi beliau. Antaranya Habib Ali al-Jufri, Syeikh Afifuddin al-Jailani, as-Sayyid Syeikh Bakikir, Imamul Ariffin Syeikh Rauf al-Yamani dan ramai lagi.
Syeikh Raja Ashman Shah merupakan seorang raja sufi besar Timur Nusantara yang warak, zuhud, tinggi budi pekerti dan berpendirian tegas. Wajahnya kacak, memiliki janggut dan rambut yang panjang. Beliau amat meminati pakaian berwarna ungu dan sering mengenakan serban besar berwarna putih. Beliau juga merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat. Syeikh Raja Ashman Shah dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan berjiwa rakyat.
Beliau wafat pada 30 Mac 2012 ketika umurnya 54 tahun pada jam 1: 30 pagi akibat serangan asma di kediamannya sendiri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Beliau telah disemadikan di kawasan pemakaman Diraja Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar.
As-Sayyid Syeikh Hisyam al-Kabbani berkata,
"Lidah tidak dapat lagi mengungkap simpati dan kasih sayang kami kepada al-Marhum Syeikh Raja Ashman, ia merupakan satu kehilangan besar kepada Maulana Syeikh Nazim al-Haqqani dan seluruh muridnya."
Suasana pada hari kewafatan Syeikh Raja Ashman Shah yang dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Ещё видео!