Tindakan pantas dua anggota polis peronda, MPV berjaya menahan tiga lelaki anggota kumpulan "Trigger Happy" yang aktif melakukan rompakan bersenjata sekitar Kota Tinggi dan Seri Alam, Johor sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata perompak itu diberkas di Kampung Nelayan Kong-Kong, Kota Masai.
Katanya, kira-kira jam 5.20 petang semalam ketiga-tiga suspek menyamun seorang mangsa dan turut melepaskan tembakan ke udara di kawasan Kota Masai.
Sebuah MPV yang dinaiki dua anggota berjaya mengesan kereta suspek kira-kira jam 1 pagi tadi, berhampiran Tol Cahaya Baru, Lebuh Raya Senai Desaru.
Suspek berjaya diberkas dan polis merampas sepucuk pistol semi automatik bersama 17 butir peluru.
Berikutan itu, Datuk Wan Ahmad Najmuddin menyampaikan surat penghargaan kepada dua anggota MPV, Koperal Tuan Mustaffa Tuan Lah dan Lans Koperal Fadzaly Mohd Sah.
Beliau percaya dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis dapat menyelesaikan tiga kes samun bersenjata api, satu kes cubaan samun dan satu kes cubaan bunuh.
Ещё видео!