KUALA LUMPUR, 23 Sept – Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain secara rasmi memegang jawatan Panglima Tentera Laut ke-19 mulai hari ini.
Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pemangku Panglima Tentera Laut bagi menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob pada 1 Ogos lalu.
Upacara pemakaian pangkat telah disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan, Zulhelmy dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.
Beliau telah menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) bermula pada 1981 hingga 1985 dan memulakan karier dalam perkhidmatan TLDM dengan mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet pada 1986 seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam cawangan Eksekutif 2 tahun kemudian.
Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada 1993 apabila memperolehi lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.
Zulhelmy seterusnya menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta.
Sejarah turut tercipta apabila beliau berjaya membawa pulang Kapal Selam Pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahmah dari Perancis yang mengambil masa 2 bulan.
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau sepanjang perkhidmatan adalah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut serta Panglima Wilayah Laut 1.
Selain itu, beliau pernah menjawat Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Timbalan Panglima Tentera Laut serta memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut pada 1 Ogos lalu.
Zulhelmy adalah pemegang ljazah Sarjana National Security Administration yang turut menerima The Outstanding Alumni Award dari National Defence College of the Philippines.
Beliau juga adalah alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.-airtimes.my
#TLDM #airtimes #Panglima #ATM #pertahanan #Malaysia
Ещё видео!