Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan sumbangan kepada penduduk Kampung Orang Asli Pos Menson dan Kampung Orang Asli Sungai Relong di Cameron Highlands, Pahang hari ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah disambut Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khairulanwar Syed Abdul Rahman dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.
Menurut catatan Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan tunai dan barangan keperluan dapur.
Seramai 63 ketua isi rumah di Kampung Orang Asli Pos Menson dan 153 ketua isi rumah di Kampung Orang Asli Sungai Relong menerima sumbangan berkenaan.
Seri Paduka turut berkenan menyantuni penerima sumbangan dengan bertanya khabar serta menasihati para penduduk agar sentiasa menjaga kesihatan diri, keluarga dan warga emas.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah sekiranya penduduk mempunyai sebarang permasalahan hendaklah sentiasa merujuk kepada tok batin agar tindakan selanjutnya dapat diambil dan disegerakan.
Ещё видео!