Kisah Di Sebalik Taman Tema Pertama Malaysia Yang Telah Ditinggal Lebih 20 Tahun
Sejak ditutup pada 1994, tapak Mimaland terus ditinggalkan tak berpenghuni.
Pada 1971, pintu Mimaland dibuka kepada umum. Ia adalah taman tema pertama di Malaysia.
Mimaland atau nama panjangnya 'Malaysia In Miniature Land' terkenal dengan replika dinosaur berskala besar yang dikelilingi oleh hutan hujan tropika.
Terletak di Gombak, Selangor, taman tema ini juga mempunyai tasik untuk aktiviti perahu dan memancing.
Beberapa tarikan seperti kolam yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara dan gelongsor gergasi membuat pengunjung tidak henti-henti datang sejurus pembukaannya
Mimaland adalah tempat yang sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong sehingga satu rentetan peristiwa menyebabkan penutupannya pada tahun 1994
Pada Januari 1993, seorang warga Singapura dilapor mati lemas dalam satu insiden tragis di Mimaland.
Tahun berikutnya, pembangunan di kawasan itu telah membawa kepada tanah runtuh yang menyebabkan air kolam keruh dan merosakkan kawasan kecil taman tema. Tambahan lagi, terdapat juga masalah keselamatan dilaporkan.
Taman tema itu terpaksa ditutup buat sementara waktu untuk kerja-kerja pembaikan bagi menjamin keselamatan pelawat. Malangnya, selepas insiden itu, Mimaland tidak pernah dibuka semula.
Mungkin sedikit pelik untuk didengari, tetapi Mimaland kini bertukar menjadi tarikan berbeza kepada thrill-seekers yang sukakan pengembaraan unik
Tapak terpencil Mimaland telah dibiar terbengkalai begitu saja dan tidak berpenghuni sejak penutupannya pada 1994.
Namun hari ini, ramai orang pergi ke tapak Mimaland atas rasa ingin tahu, terutamanya apabila terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa tempat itu penuh misteri dan berpenunggu. Mimaland kini popular sebagai salah satu tempat paling mistik di negara ini.
Sementara itu, ada juga orang yang sengaja pergi ke sana untuk aktiviti rekreasi, kadang-kadang singgah sebentar untuk berjalan di sekitar kawasan itu walaupun mereka mungkin ditangkap kerana menceroboh tanah hak milik peribadi.
Apa yang jelas ialah tempat itu sangat usang dan cebisan vandalisme lebih memberikan rasa gerun yang menakutkan
Terdapat juga laporan yang mengatakan hidupan liar seperti harimau telah dilihat di kawasan tersebut. Dan walaupun telah terbiar sejak sekian lama, masih ada pengawal keselamatan yang menjaga tempat itu bagi memastikan orang luar tidak masuk.
Tetapi, Mimaland tetap menarik perhatian orang ramai untuk datang sehingga hari ini.
Mimaland kini hampir tidak dapat dikenal pasti kerana bentuk asalnya telah berubah sama sekali
Walau ditinggalkan, Mimaland tetap tidak boleh dilupakan
Koleksi gambar dan video masih dikongsi di laman Facebook yang didedikasikan khas untuk kenangan dari semasa ke semasa.
Sepanjang dua dekad yang lalu, ramai peminat yang berharap Mimaland akan dibuka semula satu hari nanti, walaupun tahun demi tahun mimpi itu sekadar angan-angan yang tak mungkin kesampaian.
Terdapat ura-ura mengenai pembangunan semula Mimaland tetapi menjelang 2015, sumber melaporkan bahawa usaha sama di antara MPHB Capital Bhd, yang memiliki 98.2% daripada Mimaland Bhd, dan Bandar Raya Developments Bhd (BRDB) unit Magna Senandung Sdn Bhd telah ditamatkan.
Ещё видео!