LAGENDA JERAM PELAGUS – TEMPAT MEMENGGAL KEPALA RATUSAN TENTERA JEPUN
Jeram Pelagus terletak kira-kira 32 km di Batang Rajang dari Bandar Kapit. Jeram Pelagus ini mempunyai beberapa jeram bersiri yang boleh menjangkau sejauh kira-kira 13 km.
Antara siri jeram berbahaya ialah Wong Lapoh, Wong Nabau, Wong Batu Kawie, Wong Sukat, Wong Tilan, Wong Batu Naga dan Wong Pantu.Dikatakan jeram ini berbahaya kerana adanya batu tongkol besar yang tertonjol sewaktu paras air rendah menjadikan jeram itu tidak dapat dilalui oleh bot-bot besar .
Pada waktu paras air tinggi, air jeram menjadi bergelora dan berpusar menjadikan laluan sungai sangat berbahaya kepada pengangkutan air khususnya bot ekspress yang menjadi nadi pengangkutan untuk ke kawasan ulu Kapit dan Belaga.
Bagi penduduk tempatan yang mendiami kawasan sekitar Jeram Pelagus, Jeram Pelagus dikatakan sebagai satu jeram yang berpuaka.
Dikatakan berpuaka kerana saban tahun ada sahaja nyawa yang terkorban kerana tenggelam atau lemas apabila melalui jeram tersebut.
Salah satu cerita korban Jeram Pelagus berlaku pada 1 April 2006 apabila seorang guru telah menemui ajal apabila jatuh daripada bot apabila melalui Jeram Wong Sukat, Mayatnya dijumpai selepas genap seminggu kejadian tersebut.
Pada 1970-an, seorang pakar letupan dikenali sebagai Wong, dikatakan terkorban ketika cuba meletupkan sebuah bungkah batu besar di Jeram Pelagus.
Dari segi sejarah, Jeram Pelagus didakwa pernah menjadi lokasi ratusan tentera Jepun dipenggal pahlawan Iban pada 1945.
Tentera Jepun berkenaan dikatakan ditawan sekumpulan pahlawan Iban ketika mereka berundur dari kawasan tengah Sarawak selepas kalah dalam Perang Dunia Kedua.
Namun, di sebalik kisah gerun yang dikaitkan jeram itu, Jeram Pelagus juga dikatakan pernah menjadi 'pelindung' dan benteng pertahanan Orang Ulu yang tinggal di hulu Sungai Rejang daripada serangan kaum Iban ketika era 'ngayau' atau memburu kepala pada kurun ke-19.
Jeram berkenaan menyukarkan pergerakan pemburu kepala ke hulu sungai sekali gus menyelamatkan Orang Ulu daripada menjadi mangsa 'ngayau'.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa ada satu legenda di Jeram Pelagus iaitu untuk Jeram Batu Nabau. Diriwayatkan suatu ketika dahulu bahawa Batu Nabau ini adalah seekor ular raksasa atau Nabau di dalam bahasa tempatan.
Ianya menyerupai epik ular raksasa di Sungai Amazon iaitu Ular Anakonda. Dikatakan Nabau ini kerana kesaktiannya boleh menukar dirinya menjadi manusia lebih-lebih lagi apabila di musim ular mengawan.
Maka pada suatu hari, Nabau telah bertukar menjadi seorang lelaki yang gagah demi untuk memikat seorang wanita di kawasan Jeram Pelagus.
Wanita ini dikatakan idaman setiap lelaki tempatan di kawasan itu kerana kecantikannya dan lemah lembutnya namun tiada sesiapa berani meluahkan perasaan dan hanya mampu memuji daripada jauh.
Nabau yang telah mendengar cerita kecantikan wanita ini telah jatuh hati dan memberanikan diri untuk melihat sendiri siapa gerangan wanita tersebut dan akhirnya niat beliau telah tercapai dan sempat untuk berbual-bual buat seketika dengan wanita tersebut.
Namun sesuatu yang tanpa Nabau sedari bahawa ada sekujur tubuh yang sering melihat gerak-geri Nabau di dalam diam iaitu suami kepada wanita tersebut yang juga merupakan salah seorang pahlawan tempatan di kawasan penempatan di Jeram Pelagus.
Apabila menyedari yang Nabau telah melampau batas maka pahlawan ini iaitu sang suami kepada wanita cantik ini telah berhadapan dengan Nabau.
Maka berlakulah pergaduhan yang besar antara mereka berdua. Di dalam pergaduhan ini sang pahlawan telah berjaya membunuh Nabau sewaktu Nabau cuba mempertahankan diri dengan menukar dirinya menjadi seekor ular yang amat besar.
Dek kerana kecekapan pahlawan tersebut maka berjayalah dia membunuh Nabau dengan menetaknya 7 kali di bahagian badan Nabau yang melingkar itu.
Kemudian dibuangnya ke Jeram Pelagus yang berdekatan. 7 bahagian badan Nabau tersebut telah bertukar menjadi bongkahan batu yang sampai sekarang dikenali sebagai Jeram Batu Nabau antara jeram yang amat merbahaya di kawasan Jeram Pelagus.
Ещё видео!